Taman Bukit Tawau terletak banjaran Brassey telah diwartakan menjadi Taman Taman Sabah (Sabah Park) pada tahun 1979. Ianya terletak 22 kilometer dari bandar Tawau iaitu kira-kira 30 minit perjalanan menaiki kenderaan darat.
Taman Bukit Tawau adalah pusat tadahan air terpenting untuk hampir 1 juta penduduk tiga daerah Pantai Timur Sabah iaitu Tawau, Semporna dan Kunak. Sumber air dari sini menjadi punca kepada enam sungai utama di Tawau iaitu Sungai Merotai Besar, Sungai Merotai Kanan, Sungai Tawau, Sungai Kinabutan, Sungai Balung dan Sungai Mantri. Dengan keluasan 28 ribu hektar, Taman Bukit Tawau menempatkan tiga puncak gunung tertinggi daerah Tawau (dulunya gunung berapi) iaitu Gunung Magdalena setinggi 1,310 meter dari paras laut, Gunung Lucia (1,189M) dan Gunung. Maria (1,067M).
Asalnya Taman Bukit Tawau adalah Hutan Simpan Tawau yang bersempadan dengan Hutan Simpan Ulu Kalumpang di sebelah Utara yang menghubungkan kawasan hutan yang lebih luas iaitu Hutan Simpan Ulu Segama dan Hutan Simpan Kalabakan. Setelah Taman Sabah diwujudkan, hutan tersebut tadi digazetkan menjadi Taman Bukit Tawau. Keadaan mukabumi di kawasan Taman adalah berbukit bukau dengan ketinggian sekitar 30 meter hingga 1,312 meter dari paras laut.
Keunikan Taman Bukit Tawau.
1. Habitat Flora dan Fauna
Taman Bukit Tawau merupakan hutan hujan tropika yang ditumbuhi pelbagai spesies tumbuhan berbunga yang menjadi habitat flora dan fauna. Antara tumbuhan unik yang terdapat di Taman Bukit Tawau ialah seperti orkid liar, periuk kera, pokok raflesia dan paku pakis. Di hutan ini juga dapat dilihat tumbuhan epifit, tumbuhan parasit, tumbuhan liana dan tumbuhan saprofit.
Taman Bukit Tawau mempunyai spesis pokok-pokok komersil yang merangkumi sekurang-kurangnya 24 spesis Dipterokarpa seperti seraya kuning, keruing, selangan batu dan sebagainya. Selain itu, terdapat 31 spesis pokok komersil bukan Dipterokarpa seperti belian (Eusideroxylon zwaggen), kayu malam (Diospyros sp.) dan nyatoh (Palaquium gutta) Untuk tumbuhan berbunga, terdapat lebih 169 spesis dalam 112 genus dan 52 famili telah direkodkan pada lewat 80an. Pada 1996 yang mendapati sejumlah 285 spesis dalam 52 famili pokok berkayu di sekitar stesen taman.
Bagi tumbuhan herba terdapat 36 spesis dalam 14 genera halia liar. Orkid liar yang telah ditemui di dalam taman ini meliputi 118 spesis dalam 42 genera. Orkid yang paling menarik ialah Orkid telinga gajah (Palaneopsis gigantea) yang telah diancam kepupusan pada tahun 80an tetapi ditemui semula di Taman Bukit Tawau.
Kepelbagaian paku-pakis meliputi 83 spesis dalam 55 genera dan 24 famili. Ini termasuklah Paku pohon (Cyathea contaminants), Paku tanduk rusa (Platycerium wallichi) dan pokok semun (Asplenium nidus). Sejumlah 69 spesis haiwan mamalia (daripada 194 spesis di Sabah) telah direkodkan di Taman Bukit Tawau termasuklah 9 spesis monyet seperti orang utan, wak-wak, monyet merah dan monyet bangkatan (Nasalis lavartus)
Selain itu, Taman Bukit Tawau merekodkan sebanyak 240 spesis burung, 54 spesis Reptelia dan serangga serta kupu-kupu sebanyak 108 spesis. Selain itu, terdapat Taman Botanikal yang menjadi habitat pelbagai spesies flora contohnya seperti orkid, telinga gajah, pokok tongkat ali, kacip fatimah dan sebagainya. Terdapat juga pusat perlindungan spesies burung-burung terancam.
Kawasan hutan Taman Bukit Tawau menjadi habitat atau tempat tinggal berbagai-bagai jenis hidupan liar dan tumbuh-tumbuhan. Ianya adalah tempat untuk hidupan ini mendapatkan sumber makanan dan kelangsungan hidup. Tanpa habitat yang seimbang dan terpelihara, proses tumbesaran pastinya akan terjejas.
2. Ekopelancongan.
Taman Bukit Tawau menjadi kawasan ekopelancongan terutama kepada penduduk tempatan seperti perkhemahan, berkhelah, beriadah di dalam hutan, mendaki gunung dan meniti silara. Antara kawasan yang menarik perhatian ialah :
(i) Air Terjun Bukit Gelas
Taman Bukit Tawau mempunyai dua kawasan air terjun yang menjadi tumpuan iaitu Air Terjun Table yang terletak berhampiran dengan kawasan pentadbiran Taman Bukit Tawau dan satu lagi terletak 2.5 kilometer iaitu Air Terjun Bukit Gelas.
(ii) Kolam air panas sulfur
Pengunjung yang datang ke sini perlu berjalan melalui jalan trek yang disediakan sejauh 3.4 kilometer. Lokasi ini menjadi tumpuan kerana kolam air panas semulajadi yang baik untuk kesihatan kulit selain menyaksikan sendiri tindak balas eksistem dari lohong gunung berapi yang sudah tidak aktif.
(iii) Pokok Tropika Tertinggi Dunia
Taman Bukit Tawau amat terkenal dengan penemuan pokok tropika tertinggi di dunia dari spesis Seraya Kuning Siput (Shorea faquetiana) tinggi 88.32 meter oleh saintis Amerika Syarikat, Dr Roman Dial bersama dua rakannya pada tahun 2006. Mengikut rekod Taman Bukit Tawau. jumlah pelawat tertinggi direkodkan ialah pada Februari 2012 iaitu seramai 10,300 orang. Daripada jumlah itu, seramai 447 orang adalah pelancong asing dari Jepun, United Kingdom, Amerika Syarikat,Australia, Perancis, Rusia, China, Taiwan, Belanda dan Jerman. Untuk sampai ke sini, pengunjung akan melalui trek di dalam hutan sejauh 900 meter.
(iv) Kebun Botani Bukit Tawau
Ianya terletak 150 meter dari pusat pentadbiran Taman Sabah. Kebun botani di sini menyimpan kira-kira 200 spesies orkid dan dengan kira-kira 6,000 koleksi bunga orkid. Pengunjung yang ke sini akan dapat menyaksikan sejenis orkid istimewa iaitu Orkid Telinga Gajah atau Orkid Borneo. Orkid ini hanya berbunga sebanyak dua kali dalam tiga tahun dan bunganya boleh tahan sehingga enam bulan manakala harganya di pasaran boleh mencecah sehingga RM10,000 sepokok.
2. Tadahan Hujan
Taman Bukit Tawau mempunyai keluasan 27, 972 hektar yang terletak di kawasan tanah tinggi dan cirri pokok hutan hujan tropikanya pula bercirikan akar tunjang dan banir. Berdasarkan ciri inilah, taman ini menjadi kawasan penting sebagai kawasan tadahan hujan.
Selain itu, taburan hujan di kawasan ini juga mempengaruhi peranan Taman Bukit Tawau sebagai kawasan tadahan. Jabatan Meteorologi Malaysia melalui Buletin Cuaca menyatakan di laman web rasminya, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan bilangan hari hujan berjulat dari 11 hingga 17 hari sepanjang bulan Mei 2012. Jumlah hujan tertinggi dicatatkan di Stesen Meteorologi Tawau dengan bacaan 271.4 mm iaitu dengan jumlah hujan sehingga melebihi 88% di atas purata.
Dengan taburan hujan itu, tumbuhan terutamanya pokok-pokok di Taman Bukit Tawau dapat bertindak umpama span yang menyerap air hujan menggunakan akarnya. Ia akan menadah dan menapis air untuk menentukan tahap kejernihan air sungai.
Taman Bukit Tawau juga bertindak untuk mengawal hakisan dan enapan air hujan. Air yang dihalang dari mengalir terus ke sungai dapat mengelakkan banjir, hakisan tanah, menjamin hidupan sungai yang akhirnya akan menjaga industri dan aktiviti di kuala sungai.
Kemasukan Pelancong Dari Luar Negara
Ke Taman Bukit Tawau Pada Tahun 2009 Hingga 2011
Sumber carian google
0 komen
Post a Comment